"Being happy doesn't mean that you have all the best things in life, but being happy is when you can appreciate the things you already have"
Rasa bahagia bukanlah dengan kita mempunyai segala yang terbaik dalam hidup ini, tetapi bahagia itu hadir dengan rasa menghargai terhadap apa yang ada dengan kita sekarang.
Menghargai dan moga Allah membenihkan rasa kecukupan di hati kita, lalu membungakan syukur dan membuahkan bahagia. (Biologically speaking, seed grows into plants, flower bloom and you'll get the fruit later).
Life is all about making decision. Hidup ini adalah tentang membuat pilihan. dan kita juga diberi pilihan untuk menjadi bahagia. Kita boleh memilih untuk melihat kekurangan demi kekurangan lalu bersungut dan berasa kitalah manusia paling malang dalam hidup ini. Atau kita boleh memilih untuk melihat sisi-sisi positif walau sekecil manapun, menghargainya dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah pada kita lalu merasakan bahawa Allah tidak akan mempersia-siakan hamba-Nya yang tulus ikhlas melakukan sesuatu kepada-Nya.
Sudah sebulan selepas akad, dan kami saling berusaha untuk saling menghargai insya Allah. Kuncinya ialah iman, dan perlunya ia disuburkan moga bisa melahirkan perisai taqwa buat diri. Perkahwinan itu bukan hanya berkisar keperluan biologi tentunya. Bukan juga tingkat tertinggi dan kemuncak segala-galanya dalam kehidupan ini. Bagaimana? Lihat saja di akhir fairy tale yang biasa kita dengari, pentup cerita 'happy ending'nya selalu perkahwinan antara si hero kacak dan si jelita yang baik. Lalu manusia lainnya konon meraikan perkahwinan itu kemuncak dalam kehidupan mereka sehingga ada yang sanggup membuat persediaan perkahwinan (baca: majlis perkahwinan) sehingga dua tahun lebih awal.
Setiap kali diaju pertanyaan tentang perkahwinan, saya hanya mampu menjawab dengan senyuman. Bagaimana, persepsi masing-masing tentunya berbeza tentang perkahwinan. Bagi saya, perkahwinan itu hanyalah proses terhadap sesuatu yang lebih besar. Hanya satu tangga sahaja daripada tangga-tangga yang lebih banyak yang perlu didaki ke kemuncak tertinggi. Ah, bukan bermaksud perkahwinan itu boleh dipandang enteng. Tentu sekali tidak! tetapi saya hanya mahu membersihkan persepsi bahawa perkahwinan itu adalah kemuncak segala-segalanya. Baitulmuslim (rumah tangga Islami) itu penting, seperti mana Fardhulmuslim (individu muslim) itu juga penting, seperti mana Mujtama'ulmuslim (masyarakat muslim) itu juga penting. Dan setiap satunya adalah proses yang perlu ada peningkatan dari masa ke masa. Bukan berada di tangga tertentu maka kita boleh bersikap seperti si arnab yang berlumba dengan kura-kura, berehat dan bergoyang kaki sementara menunggu si kura-kura yang berjalan lambat-lambat. Sentiasa meningkatkan diri sebagai FardhuMuslim lalu pada masa yang sama meningkatkan diri dalam BaitulMuslim juga pada masa yang sama untuk MasyarakatMuslim.
Segala-galanya bermula dengan niat.
Lazimkanlah memperbaharui niat. Moga niat yang paling hampir saat kita melaksanakan amal itu benar-benar tulus ikhlas suci bersih kerana Allah.
Tentu saja kita punya hak untuk mengimpikan orang yang terbaik buat kita untuk berjuang bersama, tapi beri peluang untuk bertanya pada diri..sejauh mana yang kita fikir terbaik itu adalah benar-benar terbaik untuk kita? (baca: 2:216)
Adakah mempunyai si dia yang kacak/jelita itu yang terbaik buat kita?
Adakah mempunyai si dia yang bersuara merdu tarannum al-Qur'an itu yang terbaik buat kita?
Adakah mempunyai si dia yang lebih tua/muda itu yang terbaik buat kita?
Adakah mempunyai si dia yang se'level' dengan kita itu yang terbaik buat kita?
dan sungguh, saya mengharungi saat-saat getir berendam air mata untuk meletakkan pernikahan ini benar-benar untuk Allah. Saat saya berazam hanya untuk melangkah ke tangga ini apabila punya niat tulus ikhlas kerana-Nya, bukan kerana terpaksa, jatuh cinta atau suka-suka..maka Allah tampil dengan ujian untuk menguji sejauh mana keikhlasan saya. Lalu saya sangat bersyukur kerana Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya ini sendiri selagi mana kita mahu berpegang kepada buhul-Nya, berusaha mujahadah memperbaiki diri dan taqarrub kepada-Nya (walau betapa rasa rendah diri-Nya saya andai dibanding dengan manusia lain yang lebih baik daripada saya). Subhanallah. Terkadang jawapan dan kekuatan itu sangat misteri kerana hadir daripada Rabb itu sendiri. Maka jangan sekali-kali kita berputus asa!
Pernah di dalam satu safar (pemusafiran), saya menggunakan peluang ini untuk sungguh-sungguh berdoa. Bukankah doa si musafir itu sungguh dekat kepada Allah? Lalu Allah menjawab persoalan saya itu lewat manusia lainnya dan subhanallah, air mata tidak berhenti mengalir saat mendengarnya. Terasa Allah sangat dekat saat itu dan betapa tingginya kasih Allah buat saya yang tak seberapa. Terasa malu...kiranya saya harus lebih kuat berusaha memperbaiki diri lagi.
Sungguh cinta saya buat Allah itu yang utama, dan cinta itu menjadi motivasi terbaik untuk saya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik dalam menjadi apa sahaja diri saya saat ini: hamba-Nya, murabbi, anak, daieyah, kakak, adik, sepupu, mak cik, jiran, cikgu dan tentunya buat si suami..menjadi isteri yang solehah.
Terlalu banyak untuk ditulis dan sangat banyak untuk dikongsi. Yuk, sentiasa berusaha membaiki diri menjadi lebih baik dari hari ke hari. Benihnya ialah iman dan bunganya ialah amal, moga buahnya ialah taqwa dan hasil-hasil yang bisa dipetik kelak di syurga. Kerana dunia ini ialah ladang akhirat, maka mari kita menjadi petani yang berjaya!
1 comment:
tahniah atas perkahwinan kak..=)
Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’a bainakuma fil khair.
Semoga Allah memberkahimu ketika senang dan susah & sentiasa mengumpulkan kamu dlm kebaikan.Amin.
Post a Comment