Thursday, January 21, 2010

mushi


Saya dan Mushi


Saya terlupa untuk membuat pos istimewa sempena ulangtahun hari kelahiran seseorang semalam. Selamat menjadi dewasa dan semestinya ulangtahun kelahiran ialah peringatan bahawa semakin dekatnya kita dengan hari kematian. Semoga semakin hebat persiapan mencari syahid, insya Allah.

Rasulullah pernah mengingatkan bahawa andai kita menyayangi saudara kita, maka harusnya kita memberitahu kepada mereka. Jadi pos ini dibekalkan bersama kiriman kasih sayang tak terhingga buat ukhti yang berada di tengah-tengah ladang kelapa sawit sana. Moga berbahagia dalam iman hendaknya.

Ukhti ini pada saya ialah orang yang paling hebat kerana mampu bertahan untuk bersama-sama saya sejak dari semester pertama di universiti hinggalah berpraktikal. Teman sebilik yang paling hebat tentunya kerana mampu bersabar dengan segala macam karenah saya. Karakter kami memang sangat berbeza tapi perbezaan itu yang saling melengkapkan. Bukan begitu?

Tetapi tentunya kenangan paling manis ialah bersama-samanya menyusuri jalan indah berduri ini, membina iman dan amal agar tenang bertemu Sang Pencipta di akhir perjalanan. Tentunya ukhti ini yang paling mengenal akan jahiliyah saya yang dahulu, tapi indahnya sebuah ukhuwwah yang dihulurkan kerana tidak pernah memandang gelap pekat garis-garis hitam di belakang saya.

Buat ukhti, moga pertambahan usiamu seiring dengan iman dan amal. Terima kasih di atas segala jerih perih dan kesabaran dalam menyantuni saya. Moga Allah membalas segala usahamu. Maafkan salah silap temanmu yang pelik ini.

Barakallahufik.

Salam rindu,
Si Kucing.

Rindu masakan Cik Mushi.

No comments: