Tuesday, June 23, 2009

Benci dunia


"Dunia itu sesuatu yang negatif!" petikan dari kata-kata Sheikh Hamza Yusuf dalam salah satu dari siri-siri The Arrivals. Sampai begitu sekali dunia ini digambarkan. Masakan tidak, siri The Arrivals itu mendedahkan tentang kebangkitan sekumpulan manusia dalam membawa "The New Wordly Order". Ha, sila lihat perkataan "WORDLY" itu dengan sejelas-jelasnya! Sepertinya mereka sedang membawa konsep untuk membawa manusia merasai dan mahu kepada hidup keduniaan semata-mata. Cinta dunia. Cinta dunia. Cinta dunia.

Bagaimana? Terlalu banyak yang telah mereka rancangkan dan nampaknya perancangan mereka sememangnya sangat teliti. Antaranya ialah dengan membangkitkan SEKULARISME tanpa kita sedar. Ah, lihat saja. Bila berbicara tentang Islam pun, siapa sangat yang mahu dengar. Bukankah lebih enak dan keren untuk berbicara tentang muvi, cerita-cerita terbaru yang dimainkan di televisyen, gosip-gosip terkini dan omongan-omongan yang tidak membuahkan iman itu? Kononnya Malaysia ini paling ramai beragama Islam, tapi.... Lihat pada jemaah masjidnya, bukan pada bilangan masjidnya. Lihatlah pada mereka yang hadir untuk berada di dalam taman syurga berbanding taman neraka? Lihatlah..lihatlah..lihatlah.

Atau adakah cukup dengan hanya melihat?
Kemudian sibuk mencerca saja. Kononnya kamu ni kaum baik-baik belaka. haha
Jangan jadi reaktif, tapi harusnya proaktif! Bukan asyik menunding jari untuk mencari siapa yang salah, bukan menuduh sesama muslim lainnya itu dan ini. Ah, bila umat tidak bersatu dan asyik berseteru, maka penyeru-penyeru taghut itu sedang asyik berlagu. Mereka gembira melihat kita tidak keruan dibuatnya.

Oh, tapi mengapa bila ditanya..
Apakah benar kita perlu seimbang dunia dan akhirat?
Masih terasa ragu-ragu pula. Memang sukar membuang kata-kata turun temurun ini. Tapi bukankah kita harus sedar dan faham akan setiap kata-kata yang mahu dijadikan pegangan. Tidak boleh diambil sesukanya saja!
Jadi bagaimana seimbang dunia dan akhirat itu?
Apakah dengan tidak boleh ambil akhirat itu berlebih-lebih dari dunia? Oh, sepertinya kita harus mengingatkan diri apabila berbuat sesuatu untuk akhirat, "cukup-cukuplah! jangan sampai berlebihan pula!". Bagaimana pula tu? Bukankah akhirat itu hala tuju kita, matlamat terakhir kita? Ah, seperti tanpa sedar..ayat yang biasa-biasa itu sebenarnya menjadi racun untuk mendidik diri menjadi sekular!

Oh, bukan pula saya mahu mengatakan supaya kita harus meninggalkan dunia sepenuhnya.
Tapi untuk kita fahami, mengapa sebenarnya kita perlu mengambil bahagian dunia itu juga.
Bila akhirat itu menjadi matlamat, dunia ini hanyalah alat. Alat untuk membawa diri ke arah matlamat yang sebenar. Hanya mengambil dunia sebagai satu keperluan untuk akhirat. Harus mendidik diri, bukan dunia ini yang dicari.. bukan dunia ini yang kita mahu.. tetapi tentunya akhirat yang abadi. Persis diri ini merasa terpaksa untuk mengambil dunia kerana mahu menuju akhirat nanti dengan bekalan hasil bercucuk tanam di dunia ini. Harus mendidik diri ini merasa BENCI DUNIA dan terpaksa untuk menggunakannya demi akhirat yang dituju.. demi syurga yang didamba. Pastinya untuk menjauhkan diri dari CINTA DUNIA itu.. untuk mendidik diri meletakkan DUNIA itu bukanlah tujuan utamanya. Ah, tidak mahu kalah kepada THE NEW WORDLY ORDER itu!

Tidak hairanlah bagaimana para sahahat dulu sangat sensitif dengan isu-isu duniawi ini. Bagaimana mereka bersungguh-sungguh untuk mendidik diri menjadi zuhud dan menolak kemewahan dunia! Kerana DUNIA ini merupakan sesuatu yang sangat negatif. Bila mencintai dunia, kita akan menolak akhirat. Perhatikan dalam sabda nabi tentang sifat WAHAN itu. Peringatan penting dari Rasulullah tercinta buat umat tercinta.

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada hari itu?”

Nabi saw, menjawab, “Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.”

Seorang sahabat bertanya, “Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?’

Rasulullah saw, menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”



Benci dunia.
Benci dunia.
Benci dunia.
Bolehkah?



Saturday, June 20, 2009

bangkit!

Ah, kau belum kuat lagi rupanya!
Sedikit saja cubaan sudah tak tentu hala!!
Bagaimana mahu menjadi penyelamat dunia?
Sedang ujian sebesar kuman pun seperti tak berdaya!

Sudah. Jangan asyik merenung dan termenung!
Kau pastinya bukan seorang tukang tenung.
Atau apakah kau lebih suka menjadi terung?
yang mudah binasa bila digilis lesung!

Tak perlu mengaduh akan sakit yang sedikit
bukankah masa inilah untuk berakit-rakit?
biarlah bersakit-sakit
asal hidup di sana tak sempit..

ayuh,
BANGKIT!!!



Monday, June 15, 2009

tiada yang sia-sia

Mereka berlumba-lumba
seolah-olah merekalah orangnya
yang dikatakan nabi,
"Sebaik-baik pemimpin dan angkatan tentera".
Andai gagal sekalipun
tiada yang sia-sia
kerana setiap usaha mereka tetap dikira.

Subhanallah.
Rahmat Allah buat kita
bila diberinya balasan pada setiap usaha kita
bukan pada hasil yang sering diduga
lantas apa lagi yang kau menungkan
saat Allah melaungkan,
"Berangkatlah, dengan rasa ringan mahupun berat!"

Kerana yang dikira ialah usaha
maka andai hasil tidak seindah mana
dan kau telah berusaha dengan bersungguhnya
ketahuilah,
tiada yang sia-sia!

Hasil itu pandangan kecil manusia dunia
tapi pandangan Allah pada usaha kita
mencari redhaNya dalam setiap kerja
menuju matlamat
penciptaan manusia.

Wednesday, June 10, 2009

Siapa yang mahu membela mereka?

Tanpa khalifah, kita persis anak ayam kehilangan ibu.
Pada siapa mahu mengadu?
Siapa yang mahu membela mereka?

Sedang saudara-saudara kita dizalimi sedemikian rupa.
Apakah kita masih mampu tertawa?
Masih punya masa mengira setiap sen yang ada?
Astaghfirullah.
Ampunkan dosa kami kerana lalai atas tanggungjawab ini, ya Allah.

Wake-up call dari Mu!
Untuk kita terus bekerja lebih kuat.
Terus bergerak tanpa jemu!!

Buka mata, bukalah hati.
Apakah kau masih pentingkan diri?
Entah bila kematian kau nanti?
Bila dipertanggungjawabkan, apa mungkin kita memberi alasan yang pasti?

(jika belum membaca beritanya. lihat sini dan sini )

Tuesday, June 2, 2009

Tidak tahu diuntung

Dia berjanji
saat lakunya mendapat murka Ilahi
akan disesatkan makhluk manusia itu seluruhnya
akan diheret mereka ke gerbang neraka
biar sama-sama menderita azabNya.

Dia berjanji
tanpa lelah janji itu mesti ditepati
kerana makhluk manusia itu musuh utamanya
makhluk manusia yang jijik dibuat dari tanah cuma
sedang dia dicipta dari api yang hebat membara.

Dia berjanji
dan kini dia mampu tersenyum
melihat makhluk manusia itu
semakin lemah dalam dakapannya
gembira menjadi hamba
kepada sang musuh yang utama.

Ah manusia,
inikah makhluk mulia ciptaan Tuhan?
sedang mereka bersuka-ria mengingkari Tuhan.
apakah mereka lupa pada janji musuh itu?
bila hidup ini adalah pertarungan
dan mahu kembali ke syurga abadi itu satu perjuangan
apakah manusia itu tidak ingat bahawa dia akan dikembalikan?

Pastinya dia
tidak pernah leka untuk membuang masa
memperjuangkan yang batil dan menyesatkan
sedang para pejuang al-haq
masih diulit mimpi dusta dunia
dan debu indah merona
melakukan yang sia-sia
membiarkan jutaan manusia dalam kesesatan.

Ah,
dia tertawa geli hati
melihat pejuang al-haq itu
kononnya sedang menegakkan kebenaran
duduk bersimpuh
bermain-main dalam barisan
sedang barisan yang memperjuangkan kebatilan
lebih kukuh dan utuh
setia berjanji dengan teguh.

Ah manusia!
apakah kau masih mahu terleka?
pabila kau kata hidup ini adalah perjuangan,
masakan kau punya masa untuk berliburan?
bila hidup ini adalah satu peperangan,
antara sang syaitan dan keturunan Adam
lantas kau lebih dulu menyerah
dan jatuh berguguran.

Ah manusia!
Tuhan menciptakan kau sebaik-baiknya.
Kau makhluk istimewa ciptaan Yang Esa
mahu diberinya kau syurga segala
andainya kau tetap memilih untuk mengikut sang penggoda
masih punya waktu yang sia-sia
untuk apa lagi kau mahu mengidamkan syurga?

Nyah kau, makhluk tidak tahu diuntung!