Lalu demikian juga dengan ibadah yang ini. Sungguh aku berharap untuk melakukannya hanya kerana Allah. Betapa niat diulang-ulang dalam hati saat akad dilafaz. Resah andainya masih ada sisa-sisa niat lain yang bisa menjadikan amal ini sia-sia. Astaghfirullah, astaghfirullah al-Adzim..
'Mistaqon ghaliza' dan demikianlah aku memulakan langkah menerusi tangga yang lebih payah. Bukan sekali dua air mata ini tumpah, tetapi Tuhan tentu sahaja mahu menagih janji hamba-Nya. Andai ibadah ini aku benar-benar letakkan untuk-Nya, maka Allah tetap menguji untuk memastikan diriku tetap tulus dengan niatnya. Air mata yang tumpah bukan maksud aku mengalah, tetapi aku menagih sejuta lebih lagi kekuatan atas diriku yang lemah. Tuhan, kerana Kau lebih mengetahui maksud hatiku, dan Kau lebih memahami diri ini berbanding segala makhluk di bumi, maka aku memohon belas-Mu, untuk melihat walau sebentar pada hamba yang hina ini.. lalu kurniakanlah aku kekuatan untuk tetap mentaati-Mu dan melaksanakan ibadah ini seikhlasnya untuk-Mu.
Lalu di saat aku mula meniti di atas duri-duri dan kaki pun sudah letih untuk berhati-hati..maka aku ingin membisikkan pada relung-relung hati..bertahanlah, kau sedang melakukannya untuk Ilahi! dan pastinya Tuhan itu mengerti andai kau berbuat dengan setulus hati!
Dan aku mengharapkan hujan yang senantiasa turun membasahi bumi memercik rahmat dari Tuhan buat kami. Sepertinya langit itu juga mengerti perasaan aku di saat ini. Ikhlaskan niat, tuluskan hati! Terus berbuat biar payah untuk Robbi!