Wednesday, January 19, 2011

Bermain dengan selamat

"Cikgu, saya nak lari dari rumah lepas sekolah ni..." si gadis kecil tiba-tiba datang mengambil tempat di hadapan saya. Matanya masih sambil-sambil melihat ke papan putih, menyalin nota penuh cermat di buku tulis.

"Kenapa, tension ke?" Saya sendiri tidak tahu bagaimana respon yang sesuai untuknya.
"Mak marah...hanset ayah ambik..geramnya!" si gadis berhenti menulis dan melihat kepada saya.
"Cikgu, saya nak tunjuk satu benda kat cikgu ni!" Mukanya berubah. Sangat teruja. Terus dia berdiri di sebelah saya dan membuka dompet.

"Tapi cikgu janji jangan bagitau siapa-siapa tau!" Saya mengangguk. Senyumnya kian melebar.
"Tengok ni!!!" si gadis menunjukkan bungkusan kecil berwarna merah jambu. Tentu saja saya tidak pernah melihatnya, tetapi melihat jenamanya saja sudah membuat jantung seperti terhenti seketika. Playsafe.
"Astaghfirullah! Mana awak dapat ni?"
"Member bagi..." Senyumnya kian melebar. Wajah yang cukup teruja.
"Awak tau ke apa ni?" Saya saja berbasa-basi.
"Tau..kalau nak main tapi tak nak mengandung. Pakailah ni! Mulanya saya tak tau, tapi bila member cakap ni apa, saya sukalah!"
"Hm, kenapa awak nak ada benda ni?"
"Saya sukalah cikgu, saya ada banyak lagi kat rumah...member-member saya pun ramai yang ada."
"Awak pernah ke??"
"Eh, cikgu. Maruah mesti kena pandai jaga. Saya kawan je dengan diorang. Tapi tak buat pun. Ramai je member saya hisap gam semua..tapi saya tak buat. Pil-pil tu pun saya ada je..tapi saya tak makan pun." si gadis menjawab bersahaja.
"Awak ni, buang je la benda tu..tak elok pun awak simpan. Kalau orang jumpa tak pasal-pasal kena tuduh macam-macam."
"Cikgu, nak seringgit. Nak beli air waktu rehat."
"Ok, tapi janji buang dulu benda tu..sekarang juga." Si gadis akur.
"dan... kena janji balik rumah lepas sekolah. Jangan pergi tempat lain! (jangan lari dari rumah)"
"Ok. Janji!"
Not seringgit bertukar tangan. Dengan gembira, si gadis berlari-lari menuju ke kantin.

Tahun baru 2011.
Lebih baguskah langkah kita?
Atau kita masih memilih untuk bermain dengan selamat?
Kemahuan diri menjadi yang utama dan memastikan semua kemahuan diri dicapai dengan selamat...begitu?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(9:111)

siapa 'mereka' ni?

"(Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)."
(9:112)