Monday, November 16, 2009

Sekolah jahiliyah




Hari ini banyak guru mampu tersenyum. Hari yang dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu sekian lama. Esok SPM bermula manakala pelajar lainnya mula bercuti. Ah, gembira sungguh hati guru-guru apabila pelajar nakal-nakal yang lepas-habis-exam-pun-sibuk-nak-datang sekolah-buat-kacau akan pulang bercuti dan dapatlah mereka berlepas tanggungjawab dengan masalah pelajar. Oh, esok guru-guru masih terpaksa ke sekolah, juga untuk sepanjang minggu. Cuma saya diberi tugasan istimewa menemani pelajar-pelajar ke kem khas buat pelajar-pelajar delinkuen dan bermasalah sosial. Kata mereka, "Oh nanti bolehlah belajar bagaimana nak kawal pelajar". Oh!

Cuti sekolah ini lebih merisaukan saya sebenarnya. Cuti sekolah ini bererti bermulanya persekolahan jahiliyah bagi mereka. Walau cuma untuk kurang dua bulan, tetapi guru-guru mereka malah lebih hebat, lebih cantik dan lebih menarik. Entah selepas dua bulan ini mereka malah berjaya melompat ke tingkatan berapa di sekolah jahiliyah itu. Lalu di awal tahun seterusnya, para guru terpaksa menghadapi pelajar-pelajar yang dibelenggu gergasi jahiliyah yang lebih ganas dan menggerunkan.

Jahiliyah hari ini bukan lagi kayu dan batu seperti dulu. Seperti kata Syed Qutb, "jahiliyah yang dihias dan didandan indah" sehingga mungkin langsung tidak nampak persis jahiliyah. Musang yang bukan setakat menyamar dengan memakai bulu biri-biri, tetapi musang yang siap membuat pembedahan plastik kelihatan seperti biri-biri yang paling menawan. Lebih menakutkan, jahiliyah cantik menawan ini bukan sahaja mempesonakan mereka yang kurang dalam agamanya, tetapi sesiapa saja dengan latar belakang yang berbeza.

Jahiliyah hari ini bukan saja dikaburi sehingga tidak nampak jahiliyahnya sangat, malah lebih hebat lagi kononnya kelihatan Islami. Persis menampal logo halal sesuka hati pada tin yang isinya mungkin cukup dengan sedikit-sedikit bau Islami. Malah lebih kejam lagi apabila nilai Islami itu menjadi satu tarikan atau promosi untuk melariskan produk jahiliyah mereka. Pada satu sudut yang lain kita mungkin berasa gembira kerana ini menunjukkan permintaan masyarakat terhadap produk Islami masih tinggi. Tetapi dari sisi negatif yang lebih besar, hati-hati suci yang merindui produk Islami diracuni sedikit demi sedikit oleh jahiliyah yang tersembunyi dalam produk-produk yang kononnya Islami itu.

Mungkin ada yang mempersoalkan, "buang saja yang buruk, ambil yang baik. Kitakan sudah mumayyiz?" lalu menjadikan ini sebagai alasan untuk sesuatu yang sebenarnya didasari kepada kemahuan al-Hawa' yang lebih utama. Lalu, harus ditanya kembali. Sejauh mana baik itu lebih banyak dari buruknya? Atau sejauh mana baiknya itu memberi manfaat pada diri kita?

Andai kalian melihat sendiri betapa masyarakat ini memerlukan come-back yang besar dan betapa ramai yang sedang kelemasan dan terpaksa dilemaskan, maka masih adakah masa untuk anda bergoyang kaki menonton tivi setiap jumaat malam jam 9 itu? (baca: contohnya)

Sekolah jahiliyah hebat menawarkan jahiliyah dalam pelbagai rupa, cantik dan mempesonakan. Menarik hati-hati untuk mencipta seribu alasan untuk membenarkan diri berendam dalam jahiliyah yang busuk.
Bagaimana dengan kita?

Thursday, November 12, 2009

Rehat?

Rasa rindu yang sepertinya tidak mampu dibendung lagi. Tiba-tiba rasa sangaaaaaaaaaaaaaaat jauh dengan semua orang. Walaupun jarak agaknya tidaklah lebih daripada tiga jam, tidaklah duduk di kawasan terpencil dikelilingi kelapa sawit atau estet-estet, tetapi saya berasa sangat rindu. Walaupun baru minggu lepas saya cuba bertemu beberapa wajah pengubat rindu, saya sudah kembali merindui mereka. Secara jujurnya, saya berasa tidak sanggup untuk memandang wajah mereka. Saya segan untuk menangis walau hati ini tidak tertahan-tahan lagi untuk menumpahkan segala rasa. Saya cuba buat muka selamba, bergelak-ketawa, bergurau-gurau seperti biasanya saya menyakat kakak yang sedikit blur itu. Oh, hanya Allah yang tahu betapa rindunya saya untuk kembali!!!!!!!!

Sepertinya mahu menangis kerana mempunyai masa yang sangat sedikit untuk bersama mereka. Ah.. dan saya terpaksa kembali melalui hari-hari berat yang jauh daripada mereka. Dua hari pertama di sekolah saya benar-benar keletihan. Sehinggakan ada pelajar yang bertanya sama ada saya sihat atau tidak. Hari-hari masam saya di sekolah agaknya. Kelmarin saya demam. Alhamdulillah, cuma untuk satu malam. Saya fikir mungkin ajal saya sudah semakin dekat dan sememangnya ia merunsingkan dek memikirkan timbangan amal yang tidak seberapa. Saya sangat bersyukur keranan diberi peluang hidup untuk hari ini. Hidup uintuk mencari sebanyak-banyak kurniaNya dan memperbaiki diri dan amalan. Nampaknya bukan saya saja tidak sihat dua tiga hari ini. Internet di rumah pun seperti ada pasang-surut moodnya. Lalu perasaan seolah terpinggir di desa terpencil kadang-kadang menjelma.

Sukarnya memahamkan orang dengan kehendak dan keinginan kita. Apatah lagi meletakkan diri kita untuk memahami orang lain. Betapa saya mengharap andainya mereka faham bahawa saya merindui perjalanan membelah pekat malam untuk duduk dalam bulatan-bulatan bercahaya itu. Betapa saya mengharap mereka faham bahawa tidak mengapalah berpenat-penat dan bersusah-susah andainya kita tahu bahawa untuk mendapat syurga Allah itu bukan sesuatu yang mudah. Betapa saya mengharap andainya mereka tahu bahawa Allah akan membantu mereka yang membantu agamanya. Betapa saya mengharap mereka faham bukan semua bulatan sama rasanya dengan bulatan yang saya selama ini rasakan. Silibus mungkin sama, tapi praktiknya berbeza! Persis memasak dengan bahan yang sama, tetapi teknik yang berbeza pasti menghasilkan rasa yang berlainan. Lalu bagaimana saya mahu meninggalkan makanan yang saya rasa terbaik pernah saya rasai selama ini. Makanan yang telah banyak membantu membina perubahan dalam diri saya seperti pada hari ini.

dan betapa saya mengharap agar mereka tahu bahawa bukan saya sahaja yang melakukan cara ini, ada mereka yang lebih bersusah payah lagi. Sanggup menempuh tiga-empat jam perjalanan dari timur ke barat, seorang diri, mengejar bulatan mingguan di samping on-call yang tidak berkesudahan. Pulangnya di awal pagi dan terus masuk kerja. Lalu bilakah masanya mereka berehat andai sepanjang malam pun dihabiskan untuk memandu?

Pasti kelihatan seperti melakukan kerja gila. Tetapi bagi seseorang yang menginginkan syurga sepenuh hatinya...pasti sanggup melakukan apa saja yang terdaya.

Lalu, bilakah masa rehat kita?
Rehat kita di syurga!

Oh, Tuhan. Andai aku terlalu banyak berehat kala ini, layakkah aku untuk berehat-rehat di syurgaMu? T_T

Monday, November 9, 2009

bulatan suci

Dia fikir dia sudah hampir mati.
Nafas kian mendesah.
Dada berombak ribut taufan.
Masakan baru dua minggu sudah terganggu seluruh urat saraf fikiran?
Mungkin dia kerasukan.
Mungkin juga ketagihan.
Yang pasti, bukan gila meroyan.

Dia cuba melawan setiap rasa yang menyelimuti jiwa.
Tarikan jahiliyah yang menggoda untuk melumur pelusuk hati.
Seperti sudah hampir separuh nyawa.
Dia cuba menggunakan sisa tenaga yang ada.
Mahu bangkit, tapi seakan ada tangan-tangan ghaib yang memaku seluruh tubuh.
"Tidurlah....malam masih panjang. Mimpikanlah yang indah-indah."
Lalu dia kembali terbuai diulit mimpi dusta dunia.

Astaghfirullah!
Bagai direntap jantung itu seketika.
Nafas kembali mendesah kencang.
Sekencang Adiyat berlari menghamburkan debu-debu medan perang.
Dia mahu bangkit berdiri biar tertiarap berulang kali.
Dia mahu tetap berlari walau terpaksa merangkak membuang duri.

Benar.
Dia rindu untuk kembali.
Membasahkan hati dalam renungan kasih penghuni bulatan suci.

Saturday, November 7, 2009

mengetuk pintu hati


Saya fikir mungkin saya sudah jatuh cinta dengan karier sebagai guru. Aneh bila ada yang bertanya apakah saya menyesal menjadi guru. Subhanallah, andai kita melihat tugas sebagai da'i itu bukan hanya terikat kepada usrah, program atau individu-individu dalam niche tertentu, pastinya kita akan merasa betapa tugas da'i itu tersangat luas. Apatah lagi apabila dianugerahkan dengan tugas sebagai guru. Saban tahun diberi mad'u-mad'u baru untuk disantuni. Lalu, bagaimana mungkin saya mahu menyesal? Apa juga kerjaya yang kita lalui, tidak seharusnya terpisah dengan tugas sebagai khalifah itu. Setiap mereka yang berada di samping kita adalah mad'u dan punya hak untuk menerima keharuman da'wah yang kita bawa. Bukan begitu?

Apa saja kekurangan yang ada dalam karier yang sedang kita lakukan kini, seharusnya dilihat dari sudut yang positif dan menggunakan kelebihan yang ada dengan semaksimanya agar segala kekurangan itu kelihatan sekecil habuk saja. Cuba hargai segala kesempatan yang diberi setiap hari untuk mengalirkan da'wah yang suci. Andai bukan hari ini kita melihat benih yang disemai membuahkan hasil, kita tetap menjadi petani-petani yang membanting tulang untuk menuai hasilnya di akhirat. Lalu, seharusnya kerja yang dilakukan itu disertakan dengan ikhlas, ihsan (to the perfection) dan itqan (the very best).

Dalam dua minggu memulakan tugas di tempat baru, saya cuba belajar daripada peristiwa yang berlaku. Masya Allah, sepertinya kerjaya ini merupakan latihan yang baik untuk melatih diri berhadapan dengan manusia yang pelbagai ragamnya. Bukan sahaja dengan pelajar, tetapi juga dengan guru-guru. Saya teringat bagaimana Allah mentarbiyah Rasulullah dengan pelbagai peristiwa dalam persiapannya menerima tugas sebagai da'i. Antaranya ialah tarbiyah untuk mendidik diri dengan sifat sabar, santun dan berkasih sayang. Betapa cantiknya susunan peristiwa dalam setiap tarbiyah Ilahi itu.

Kisah di sekolah

Baru saja saya memulakan peperiksaan di kelas no 10 (kedua terakhir dalam tingkatan 2), pelajar-pelajar sudah mula membuat bising. Bersembang seolah-olah bukan sedang menjalani peperiksaan. "Tolong senyap!", saya cuba berlaku tegas. Sayup-sayup di belakang kelas, ada pelajar yang cuba mengajuk saya dan kelas kembali bising dengan hilai tawa. Subhanallah, sepertinya ada lapisan sabar di hati yang diberi Allah sehingga saya tidak merasa apa-apa dilakukan begitu. Tidak semena-mena guru disiplin yang digeruni mereka lalu di sebelah kelas dan terus mengarahkan pelajar untuk berdiri. Mereka terdiam dan terpaksa menjawab soalah peperiksaan sambil berdiri. Lalu saya dengan sinisnya melihat jam, "Oh, awak ada masa 45 minit lagi..teruskan menjawab!". Selepas seketika, guru disiplin itu kembali dan membenarkan pelajar-pelajar duduk. Kali ini saya cuba untuk mendekati pelajar-pelajar yang membuat bising. Tanpa prejudis saya cuba untuk berborak-borak dengan mereka dan cuba memahami situasi mereka. Saya cuba menawarkan diri untuk membantu di mana yang perlu. "Cikgu, saya tak tahu apa pun. Saya selalu ponteng", jawab pelajar perempuan itu. "Kenapa ponteng?". "Sebab nak jadi otai!!"

Minggu ini saya masuk lagi ke kelas itu. Kali ini untuk membincangkan kertas peperiksaan sains mereka. Hanya beberapa orang pelajar yang betul-betul mahu belajar. Pelajar lelaki yang di belakang kelas buat tidak mahu menyertai mereka. Lalu, saya meminta mereka mengemas sampah di belakang sambil saya mengajar kepada mereka yang mahu belajar. Pelajar itu lantas mengeluarkan sampah dari dalam mejanya dan mencampakkan ke lantai, mungkin tanda protes. Sekali lagi saya sangat bersyukur diberi lapisan sabar oleh Allah sehingga saya tidak berasa apa-apa diperlakukan begitu. Saya terus menyambung perbincangan dengan pelajar yang lain dengan gembiranya. Pelajar yang di belakang kelas hanya memandang saya dengan senyap.

Esoknya saya kembali ke kelas no 10 itu. Kali ini mereka yang di belakang kelas mula untuk mengerumuni saya bersama-sama dengan pelajar yang lainnya. Kalau sebelumnya ada yang menghilangkan diri dan ponteng kelas, kini mereka tetap berada di dalam kelas walaupun tidak mahu belajar. Ah, sekurang-kurangnya mereka tidak ponteng kelas! Kalau sebelum ini mereka membisu, kini sudah riuh mahu bercakap dengan saya. Walau tiada yang berkenaan dengan pelajaran mereka!

Di masa yang lain saya ke kelas no 9 yang bersebelahan. Mengejutkan apabila pelajar-pelajar kelas no 10 itu turut menyibukkan diri untuk berada di kelas ini. Terutamanya mereka yang berada di belakang kelas tempoh hari. Mereka tidak berbuat apa-apa, hanya duduk dengan senyap untuk melihat saya berbincang dengan pelajar kelas no 9. Mungkin ini satu permulaan, atau mungkin terlalu awal untuk saya membuat justifikasi terhadap perlakuan mereka dalam satu tempoh pendek percubaan menggunakan pendekatan kasih-sayang. Tetapi pendekatan ini sepertinya jauh lebih menyenangkan hati. Saya dapat mengenali pelajar lebih dekat dan mereka juga kelihatan lebih mudah untuk diuruskan. Sepertinya saya gembira bersama-sama dengan mereka yang kononnya bermasalah ini. Cuba menghilangkan perasaan prejudis walau sebusuk mana mereka dengan bau rokok atau betapa kotornya gigi-gigi pelajar perempuannya yang mungkin kerana banyak merokok. Saya cuba untuk tetap menyantuni mereka dan melayan mereka dengan kasih sayang.

Luruskan niat. Semoga Allah melembutkan hati-hati mereka agar memahami tugas sebagai muslim itu. Teringat kata-kata mentor saya di sekolah ini, "Pelajar-pelajar ini sudah hilang Tuhan dalam diri mereka dan menjadi tugas kita untuk kembali meletakkan Tuhan itu dalam diri mereka"

Subhanallah. Semoga Allah tetap mengurniakan saya dengan kesabaran dan kesabaran serta mohon diberi petunjuk atas setiap tindakan.

Jahiliyah itu semakin mengancam. Dari hari ke hari, masyarakat sepertinya mahu membina zaman jahiliyah itu kembali. Apatah lagi bila banyak merasakan "kubur masing-masing..." lantas terlupa bahawa kita semua bakal dipertanggungjawabkan.

Harus diingat, andai kita masih tidak berbuat apa-apa atau berasa cukup dengan apa yang kita telah lakukan sekarang, kita seolah-olah sengaja membiarkan jahiliyah itu bertukar menjadi raksasa. Andai tiada da'wah, maka tiadalah permulaan untuk mengecap kembali zaman kegemilangan Islam sebagai World Order yang kita impi-impikan.

Ayuh, kita persiap diri menjadi batu-batu yang paling kukuh. Juga membina batu-batu lain agar sama-sama membangun kembali rumah Islam kita.

Kuatkan Iman, Teguhkan Amal!


Jangan pernah berhenti berlari mengejar mimpi
-Laskar Pelangi

Thursday, November 5, 2009

Ama Zilna



Approaching God with our hearts
No fear nor grief for whom He guides
His rope is strong and will never waver
His provision is there for all who are in need

In every place, at every time
Above you is The Glorious Care-taking Lord
In every place, at every time
You have a Lord who loves you and will never forget you

Do we know our Lord?
Do we see our Lord's blessings?
Do we know our Lord?
Do we thank Him?... or have we forgotten..
that His servants... we are


In His Dominion we exist for as long as He wills
And we call upon His bounty through prayer
And seek His favors through hope
For He is our refuge when difficulty strengthens its hold

In every place, at every time
Above you is a Glorious Care-taking Lord
In every place, at every time
You have a Lord who loves and will never forget you

Do we know our Lord?
Do we see our Lord's blessings?
Do we know our Lord?
Do we thank Him?... or have we forgotten..
that His servants... we are

My heart is Allah's
My soul is Allah's
My wealth is Allah's

Tuesday, November 3, 2009

Have we Qurban ourselves?


Entri khas sempena Aiduladha yang tidak lama lagi. Selalunya apabila bercerita tentang Aiduladha, terbayanglah lembu-lembu yang disembelih. Bukan begitu? Atau mungkin cerita-cerita di tivi mengenai PENGORBANAN. Entah apa sebenarnya yang dikaitkan dengan pengorbanan itu dengan Aiduladha agaknya.

Teringat semasa di kolej dahulu saya rajin menulis. Salah satunya ialah skrip Choral Speaking bertajuk AidulAdha untuk suatu pertandingan. Ditakdirkan Allah, pasukan kami menang tempat pertama! Kembali mengenangkan saat itu, saya berasa cukup malu. Ah, entah apa-apa yang saya tuliskan tentang AidulAdha saat itu. Kisah seekor lembu yang bernama Salman, takut untuk disembelih dan akhirnya redha selepas mendapat tahu akan bertemu Tuhan. Kasihan lembu-lembu yang sudah sedia muslim disalah ertikan oleh saya dalam skrip itu.

Maaf, saya kadangkala mempunyai imaginasi yang pelik sedikit. Mungkin sebab itu barisan hakim sanggup menerima idea pelik dalam skrip itu yang tanpa disedari sebenarnya membawa ajaran songsang tentang hakikat AidulAdha sebenar. Saya ketika itu masih dalam gelap kelam jahiliyah. Moga entri khas sempena AidulAdha kali ini membawa erti yang lebih baik.

Seringkali kita memanggil AidulAdha sebagai Hari Raya Korban dan selalunya dikaitkan dengan pengorbanan. Cereka-cereka di televisi tentang pengorbanan seorang bapa kepada anaknya, ibu kepada bapanya atau apa saja yang berkaitan pengorbanan sehinggakan kita kadang-kadang dikaburi dengan pengertian Qurban yang ingin dibawa.

Qurban yang sebenarnya membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah atau meng'karib'kan diri sebagaimana kita menggunakan 'sahabat karib' untuk membawa erti sahabat yang paling rapat. Qurban bukanlah sekadar berkorban atau melakukan pengorbanan tetapi melakukan sesuatu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah daripada pengorbanan yang dilakukan.

Lihat saja, sembelihan yang dilakukan hakikatnya tidak memberi apa-apa kepada Allah secara zahir (kerana daging sembelihan itu akhirnya dimakan oleh manusia juga), maka hakikat Qurban itu bukanlah secara zahir dengan sembelihan itu tetapi bagaimana kita 'menyembelih' bahagian-bahagian jahiliyah dalam hati kita agar seluruh jiwa itu diletakkan tulus untuk Allah.

Maka, sama-sama kita usahakan semoga di hari berbahagia AidulAdha kita dapat raikan dengan jiwa-jiwa yang lebih taqarrub, lebih dekat dan melaksanakan Qurban yang sebenarnya. Walau kita masih bertatih-tatih melangkah mendekatkan diri kepada Allah, Allah akan pantas berlari untuk menyambut kita.

Janganlah kerana masih tidak mampu ber'korban' dengan sembelihan maka kita tidak merasa manisnya AidulAdha ini, tetapi usahakanlah untuk mencari makna sebenar dan berusaha melaksanakan Qurban dalam pengertian mendekatkan diri kepada Allah. Maka bukankah sepatutnya di AidulAdha nanti kita bertanya pada diri, have we Qurban ourselves?

Allahu A'lam.

(Maaf entri berbahasa skema. Sibuk menanda kertas dengan skema jawapan sehingga diri sendiri menjadi skema)

dearest sisters

Dedicated to my dearest sisters all over the world, with love....




let's become the Auliya, the Ansarullah!!

promoting: enjet-enjet semut, welcome to the blogsphere sisters from the States!