Sunday, March 22, 2009

soalan cikgu

Soalan cikgu benar-benar mengejutkan saya hari ini. Saya ni ada nampak macam orang yang ada buah hati ke? Mungkin cikgu hanya bergurau, tapi mungkin soalan cikgu juga ada benarnya kerana saya paling susah untuk berbincang perkara sebegini. Kadang-kadang saya biar saja bila ada orang mengatakan yang saya sudah berpunya. Bukan apa, kononnya takut diganggu bila diketahui yang kita masih single :p

Kalau saya beritahu yang saya tidak pernah ber'kapel' mungkin ramai yang akan berasa pelik dek fenomena ini adalah satu norma buat masa sekarang. Tidak mempunyai BF mungkin dianggap sangat pelik. Teringat seorang kawan yang berbangsa cina bertanya soalan yang sama. Bila saya menjawab tiada, dia lantas memberi respon sambil tertawa, "Eh, awak ni lesbian ke?". Apekah?? Walaupun dia memberitahu yang dia hanya bergurau, tapi sekurang-kurangnya ini menunjukkan seseorang yang tidak mempunyai buah hati sememangnya sesuatu yang luar biasa.

Saya bukanlah seorang yang tidak langsung berhubung dengan lelaki suatu ketika dulu. Sebelum menerima tarbiyah, saya juga memandang budaya 'kapel' itu sebagai sesuatu yang biasa. "Ala..asalkan tahu jaga batas-batasnya...", mungkin itu asas saya pada ketika itu. Kerana itu, saya tidak pernah menghalang mahupun memandang pelik rakan-rakan yang seorang demi seorang mula mempunyai teman istimewa masing-masing. Tetapi kerana merasakan diri saya yang masih terlalu muda untuk menjalinkan apa-apa hubungan emosi dan bermain-main dengan soal hati, saya memilih untuk mengatakan tidak terhadap sesiapa sahaja.

Peristiwa yang paling hampir ke arah 'kapel' dalam pengalaman saya merupakan sesuatu yang tidak dapat saya lupakan. Saat saya menerima mesej daripada si dia, seperti ada perasaan yang meresahkan dan menyesakkan. Saya lantas menangis dan seperti tidak tahu mahu berbuat apa. Kemudian saya terus menulis e-mel kepada dia untuk menyatakan yang saya tidak dapat menerimanya.

Baru sahaja menyelongkar bahagian 'sent items' dalam e-mel dan saya menemui e-mel saya hantar pada tarikh 16/6/2006 itu. Kelakar juga membacanya kembali :P

"...i don't know if i'm ready to have any relationship with anyone yet. the fact is, i never fall in love and i don't know how does it feels like. i know it sounds ridiculous, but i have my own thoughts about that. i hope my first love is my one n only love. i don't know why i tell u this, but just accept it as i'm sharing my thoughts with u here..."*

(*sila baca petikan dari emel ini dengan rasa kelakar. Jika anda tidak ketawa, sila buat-buat ketawa juga :P)

Saya pun tidak pasti apa yang saya sedang fikirkan waktu itu, tapi saya pasti setiap peristiwa yang terjadi ini ada hikmahnya. Pastinya Allah mengetahui yang saya tidak mampu menanggung jahiliyyah yang sebegini lantas jahiliyyah saya dalam bentuk yang lain pula. Jahiliyyah yang cukup kuat dan membuatkan saya tersedar untuk melihat kilauan hidayah Allah yang amat indah.

Sedikit demi sedikit saya sedar yang jahiliyah itu perlu dibuang, dibersihkan dan dilupuskan dengan apa cara jua kerana ia akan memakan diri saya kelak. Mungkin dahulu dek bergelumang bersama jahiliyah yang langsung tidak kelihatan berbahaya, saya tidak merasa apa-apa. Tidak langsung melihat itu sebagai satu jahiliyah pun. Harapnya, saki-baki jahiliyah itu bakal dibersihkan sebersih-bersihnya dengan tarbiyah berterusan. Ah, tentu saja indah mempunyai hati yang cantik bersinar tanpa ternoda sedikit pun dengan debu-debu jahiliyah.

Mempunyai ramai teman mungkin menjadikan saya tidak berasa apa-apa jika tidak mempunyai teman istimewa (istimewa sangat kah?). Atau mungkin saya yang masih bersikap kurang matang dan suka bermain-main saja. Walaupun demikian, ujian Allah datang untuk melihat sejauh mana saya benar-benar bertekad. Di tempat baru, orang lain pula yang bertandang. Seperti biasa, saya mengambil langkah untuk melarikan diri saja. Bukan menjadi pengecut, tetapi saya selesa dengan kehidupan ketika itu. Bersama teman-teman saja sudah membuatkan hidup saya gembira.

Allah masih mahu menguji saya dalam proses tarbiyah juga. Orang lain yang bertandang juga menyesakkan hati. Tindakan luar biasa seseorang terhadap kita mungkin saja mengundang gundah dan malapetaka. Saya lantas mengelak pada mana-mana sudut yang mungkin. Kadang-kadang saya menangis kerana tidak tahu berbuat apa. Takut sekali andainya hidayah ini ditarik balik kerana kelalaian saya dan terdorong dengan perasaan sendiri. Ketika itu saya tidak tahu kepada siapa mahu mengadu selain daripada Allah.

Tamat episod di sana, destinasi seterusnya juga menemukan saya dengan ujian yang menggoncangkan perasaan. Saya cuba melatih diri untuk melihatnya sebagai ujian daripada Allah dan saya perlu membuat tindakan yang sewajarnya supaya tidak gagal dalam ujian sebegini. Saya mohon diberi kekuatan terus daripada Allah. Mungkin ini tarbiyah untuk diri saya, mungkin juga pengalaman dan pengajaran untuk saya memahami masyarakat dengan lebih baik. Segalanya saya kembalikan pada Allah untuk menentukan yang terbaik buat saya.

Mungkin ada yang tertanya sampai bila saya mahu melarikan diri? Bagaimana dengan membina 'langkah seterusnya' dalam maratib amal? Maka saya serahkan semuanya pada Allah. Jika melihat keadaan sekarang, saya merasakan diri saya masih belum bersedia. Terlalu banyak yang perlu saya perbaiki dan hadapi. Perkara ini tentunya tidak semudah dengan hanya mengimpikan yang indah-indah. Lantas, semuanya dikembalikan kepada Allah untuk menunjukkan saat dan siapa yang terbaik buat saya. Andainya saya kembali dulu menemuinya, harapnya si dia sedang menanti di syurga buat saya. Mengapa perlu berasa gundah andai masih belum ber'punya'? Persiapkanlah diri sebaiknya kerana 'langkah seterusnya' itu juga satu ibadah penting dan tanggungjawab besar untuk kita membina tangga-tangga seterusnya. Pintalah pada Allah untuk menetapkan yang terbaik mengikut kehendakNya pada kita.

Saya tidak pasti apa persepsi orang lain terhadap saya. Mungkin juga saya malas untuk membuat persepsi sendiri terhadap persepsi mereka. Tapi, harapnya tidak pula menimbulkan prasangka yang tidak baik pula kerana persepsi kita mungkin silap jika dilihat dari sudut yang berbeza. Cara terbaik adalah dengan bertanya kepada si empunya untuk mengesahkannya. Insya Allah, saya cuba bersikap terbuka dan berlapang dada untuk menerima apa saja persepsi dan prasangka. Tetapi, alangkah baiknya jika apa saja persoalan terus ditanya kepada saya seperti mana yang dilakukan oleh cikgu saya? ;)

No comments: